
KUALA LUMPUR : Malaysia akan memperkasa penerokaan potensi tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik untuk menjamin bekalan tenaga negara dalam jangka panjang.
Usaha berkenaan dilihat sebagai langkah strategik dalam mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan api fosil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif tersebut digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan selari dengan aspirasi negara untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, penilaian terhadap potensi serta kebolehlaksanaan tenaga nuklear kini semakin penting khususnya dalam menghadapi perubahan landskap tenaga global yang dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik dan ketidakstabilan bekalan serta harga bahan api.
“Ketegangan di Timur Tengah termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz telah memberi kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global.
“Dalam konteks ini, tenaga nuklear dilihat berupaya menyediakan penjanaan beban asas yang stabil dan rendah karbon sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fadillah memberitau, beberapa negara anggota ASEAN kini menilai semula peranan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan sumber tenaga masing-masing.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan, Filipina menyasarkan pembangunan kapasiti tenaga nuklear sehingga 4,800 megawatt menjelang 2050.
“Vietnam pula memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga negara manakala Indonesia sedang meneroka penggunaan reaktor modular kecil (SMR) termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang lebih fleksibel bagi negara kepulauan dengan sasaran menjelang 2030.
“Sehubungan itu, MyPOWER Corporation yang berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah dilantik sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO).
“Agensi ini bertanggungjawab meneraju serta menyelaras persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara berdasarkan pendekatan berfasa (milestones approach) yang digariskan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa,” katanya.
Pada masa ini, beliau menjelaskan MyPOWER sedang melaksanakan penilaian menyeluruh yang merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penilaian pelaksanaan projek serta penglibatan industri tempatan.
Selain itu, katanya, usaha turut dipergiat untuk memperkukuh penyertaan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan bagi menyokong agenda tenaga nuklear negara.
“Keutamaan kerajaan kini ialah memastikan sebarang pertimbangan berkaitan pembangunan tenaga nuklear pada masa depan dilaksanakan secara teliti, berasaskan analisis teknikal yang komprehensif, dan selaras keutamaan pembangunan negara serta obligasi antarabangsa Malaysia.
“Pendekatan ini juga sejajar aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perancangan jangka panjang negara berasaskan ilmu, kemampanan sumber serta kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan,” katanya.





