
TEHERAN: Parlimen Iran merangka Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengenakan bayaran terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi antara nadi utama perdagangan minyak dunia.
Cadangan itu dilaporkan bertujuan menjadikan bayaran transit sebagai kos untuk jaminan keselamatan di laluan berkenaan, menurut laporan agensi berita separa rasmi Fars.
Seorang Ahli Parlimen Iran yang tidak didedahkan identitinya berkata, cadangan tersebut dijangka dimuktamadkan minggu depan.
“Kami mengusahakan cadangan supaya kedaulatan, kawalan dan pengawasan Iran di Selat Hormuz diiktiraf secara rasmi dalam undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, kutipan tol berkenaan juga akan menjadi sumber hasil baharu kepada negara.
Langkah tersebut dilakukan ketika ketegangan di Asia Barat masih berlarutan memasuki minggu keempat, sekali gus menambah kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan utama dunia.
Selat Hormuz merupakan laluan kritikal yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global dengan sebarang gangguan berpotensi memberi kesan besar kepada pasaran tenaga dunia.
Ketika ini hanya sebilangan kecil kapal, kebanyakannya dikaitkan dengan China dan Iran, masih menggunakan laluan tersebut susulan keadaan konflik yang berpanjangan di rantau berkenaan.







