
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing akan diperluaskan mulai 1 April.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh undang-undang sedia ada, yang sebelum ini hanya mengenakan tindakan terhadap pengusaha stesen minyak.
“Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing.
“Penguatkuasaan itu adalah susulan daripada keputusan yang telah beliau bentangkan di Parlimen pada 29 Jan lepas,”katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata, agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan pematuhan peraturan serta membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan subsidi bahan api, khususnya di kawasan sempadan susulan ketegangan konflik Asia Barat.
“Saya mengingatkan agar semua pihak sama ada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan motor asing untuk mematuhi larangan ini.
“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api.” tegasnya.
Armizan menyeru orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, selaras agenda KITA GEMPUR bagi memastikan kepentingan rakyat terus dilindungi serta ketirisan subsidi dapat dibanteras.





