
GEORGE TOWN: Sepasang lelaki dan wanita dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Air Itam, 22 Mac lalu.
Tertuduh, M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap setiap tertuduh selepas mengambil kira fakta kes serta kepentingan awam.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau secara bersama di lokasi berkenaan pada kira-kira jam 8.30 pagi.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di mahkamah.
Peguam mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik serta menjimatkan masa mahkamah, selain faktor latar belakang peribadi mereka.
Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan di tempat awam serta kepentingan umum.
Kedua-dua tertuduh ditahan pada hari berasingan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu, termasuk daripada rakaman video yang tular sebelum siasatan dijalankan.
Mereka hadir ke mahkamah pagi tadi dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap sebelum dikenakan hukuman.






