
SUNGAI PETANI: Tragedi menyayat hati berlaku di Kampung Belau, Merbok di sini apabila tiga beranak ditemukan maut dalam sebuah rumah, tengah malam tadi.
Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri berusia 65 dan 53 tahun serta anak lelaki mereka berusia 29 tahun.
Kesemua mayat ditemui oleh polis bersama penduduk kampung selepas menerima maklumat orang awam berhubung keadaan mencurigakan di kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan rumah gelap selain terdapat bau busuk yang kuat sebelum pihak polis memecah masuk premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua mayat pasangan suami isteri di bahagian dapur rumah dalam keadaan dibungkus menggunakan karpet dan kain, manakala seorang lagi mangsa ditemui di bilik tingkat atas,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati terdapat kesan darah di ruang tamu serta tanda-tanda usaha membersihkan kawasan kejadian.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dewasa itu dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula mereput.
“Polis juga percaya mayat mungkin dipindahkan ke lokasi kejadian selepas insiden berlaku di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut menemukan beberapa senjata tajam berhampiran lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hanyan berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kes ini berkait dengan masalah kesihatan mental seorang daripada ahli keluarga, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Setakat ini, lima individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.







