
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan rakyat agar lebih berwaspada susulan cuaca panas yang sedang melanda negara, yang dijangka berterusan sehingga awal atau pertengahan Jun.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Baginda menegaskan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengehadkan aktiviti di luar yang terdedah kepada panas terik selain memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang tempoh tersebut.
Baginda turut menzahirkan titah supaya Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap situasi itu bagi menjamin kesihatan murid dan pelajar tidak terjejas akibat keadaan cuaca panas.
“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api.
“Warga emas serta kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik juga dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” titah Baginda.
Dalam masa sama, Baginda bertitah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berperanan penting dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas semasa yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta petugas kesihatan yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh cuaca panas ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.




