
KUALA LUMPUR : Tindakan MIC untuk terus bersama Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai lambang kesetiaan yang utuh serta tahap kematangan politik yang tinggi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyatakan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu menunjukkan pendirian yang jelas, kukuh dan berwawasan.
Beliau menambah, keputusan tersebut bukan hanya berasaskan pertimbangan politik semasa tetapi turut mencerminkan warisan sejarah serta semangat perjuangan yang telah terbina sejak zaman Perikatan (1955–1973) sebelum diperkasakan lagi menerusi BN dari tahun 1974 hingga kini.
“Dalam tempoh panjang ini, gabungan ini telah melalui pelbagai ujian, daripada cabaran perkauman, tekanan politik hinggalah kepada perubahan landskap nasional namun BN masih kekal bertahan kerana asasnya adalah kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama.
“Keputusan untuk kekal bersama BN juga mempunyai justifikasi yang kukuh dan rasional termasuk aspek kestabilan serta kesinambungan, kekuatan muafakat pelbagai kaum, keupayaan untuk memperbaharui diri serta menolak politik perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, MIC membuat keputusan untuk mengekalkan status quo dan kekal bersama BN buat masa ini susulan perubahan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).






