
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia dijangka tidak berdepan krisis bekalan minyak dalam tempoh terdekat walaupun berlaku ketidaktentuan harga susulan perkembangan geopolitik semasa.
Beliau berkata, secara keseluruhan bekalan bahan api negara masih terjamin untuk beberapa bulan akan datang, dengan sokongan keupayaan syarikat petroleum negara, Petronas serta hubungan baik dengan negara pengeluar minyak.
Menurutnya, Malaysia merupakan pengimport bersih minyak mentah walaupun menghasilkan produk petroleum premium yang bernilai tinggi.
“Kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat gangguan dari segi harga bahan api, tetapi bekalan dijamin untuk beberapa bulan akan datang,” katanya pada sesi soal jawab Dialog Kuala Lumpur-Ankara di sini.
Kenaikan harga minyak mentah dunia sebelum ini didorong oleh konflik di Asia Barat, termasuk penutupan laluan strategik Selat Hormuz yang menjejaskan rantaian bekalan global.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menanggung kos subsidi bahan api yang meningkat kepada RM4 bilion sebulan setakat akhir Mac susulan lonjakan harga minyak mentah.
Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan beberapa langkah penjimatan termasuk menggalakkan amalan bekerja dari rumah dalam kalangan penjawat awam dan sektor swasta, selain pelarasan kuota subsidi bahan api.
Mengulas tekanan ekonomi global, Anwar berkata Malaysia kekal terdedah kepada perkembangan perdagangan antarabangsa, namun berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding beberapa negara lain hasil hubungan dagang yang meluas dengan Amerika Syarikat, China, Eropah dan Asia Barat.






