
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa seramai 49 individu yang menjadi mangsa penipuan pakej haji baru-baru ini supaya membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut pampasan sewajarnya.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung kes berkenaan.
“Pihak KPDN tidak menerima aduan daripada mangsa, tetapi saya dimaklumkan bahawa mereka ada membuat laporan polis.
“Sebenarnya, kita ada TTPM dan mereka boleh membuat aduan. TTPM akan mendengar kes dan membenarkan tuntutan sehingga RM50,000.
“Mungkin pengguna tidak tahu hak mereka. Kita sarankan buat laporan kepada TTPM,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Pengguna di sini, semalam.
Fuziah berkata, TTPM akan menilai setiap kes yang dilaporkan berdasarkan butiran yang dikemukakan termasuk bayaran dibuat, janji ditawarkan serta perkhidmatan sebenar diterima pengguna.
“Sebelum ini, terdapat satu kes membabitkan lebih 30 orang yang membuat aduan kepada TTPM berhubung penipuan pakej umrah dan tribunal mendapati pengusaha itu bersalah. Tindakan telah diambil terhadap pihak berkenaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 49 jemaah Malaysia dipercayai menjadi mangsa penipuan oleh seorang ejen haji tempatan yang juga seorang agamawan terkenal.






