
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan komitmennya untuk mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan institusi di bawah naungannya pada paras 97 peratus.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata usaha itu diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik, termasuk memperluas jaringan kerjasama dengan sektor industri utama bagi memastikan program pengajian MARA terus relevan dengan keperluan pasaran semasa.
“Kebolehpasaran graduan di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) kini pada kadar 93 peratus, tetapi jumlah ini dilihat masih baik daripada kebanyakan institusi pendidikan hari ini.
“Walaupun UPTM ini hanya berusia tiga tahun, tetapi mereka kehadapan dalam menjalinkan hubungan dan kerjasama strategik dengan industri. Ini penting bagi memastikan keboleh pasaran pelajar dan graduan di universiti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Academia-Industrial Collaboration 3.0 (AIC 3.0), di sini hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, pihaknya akan memastikan kebolehpasaran UPTM dipertingkatkan ke tahap 97 peratus melalui kolaborasi serta kerjasama strategik dengan industri penting.
“Ia dapat memastikan program kita akan sentiasa kekal dinamik dan relevan dengan keperluan industri dan juga masyarakat,” katanya.
Dalam majlis yang sama, UPTM turut menjalin kerjasama strategik dengan 30 rakan industri dan universiti antarabangsa sebagai usaha memperkukuh jaringan global serta mempertingkatkan sinergi antara dunia akademik dan industri bagi melahirkan graduan yang lebih berdaya saing.
Melalui pelaksanaan AIC 3.0, inisiatif itu berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UPTM dengan memberi pendedahan kepada jaringan profesional dan memperluas kolaborasi bersama rakan strategik tempatan serta antarabangsa.
Selain itu, program berkenaan turut menyediakan ruang lebih luas kepada peluang kerjaya menerusi Pameran Kerjaya yang menghimpunkan 17 syarikat terkemuka, menawarkan peluang pekerjaan, latihan industri serta sesi temu duga kepada para pelajar.





