
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa kerajaan menambah baik sistem bantuan sosial dengan melaksanakan pengagihan secara automatik berasaskan pangkalan data pendapatan yang disahkan, tanpa memerlukan penerima membuat permohonan baharu setiap tahun.
Ahli Parlimen Pagoh (PN) itu berkata, amalan semasa yang memerlukan permohonan tahunan dan melibatkan kerenah birokrasi hanya melambatkan proses penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Pangkalan data penerima sepatutnya disepadukan antara agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), eKasih dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.
Menurut Muhyiddin, sistem bersepadu itu mampu mengenal pasti isi rumah B40 dan M40 bawah secara automatik, dengan penilaian kelayakan dilakukan secara dalaman setiap tahun tanpa perlu campur tangan manual.
“Hanya apabila berlaku perubahan besar barulah kemas kini dilakukan. Langkah ini dapat menjimatkan masa, mengelakkan keciciran bantuan dan yang paling penting, memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk program bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peningkatan RM2 bilion berbanding RM13 bilion tahun sebelumnya.
Melalui inisiatif tersebut, sebanyak sembilan juta penerima STR akan menerima bantuan sehingga RM100 sebulan, manakala sejuta peserta eKasih dalam kategori miskin dan miskin tegar bakal menerima sehingga RM200 sebulan.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mendedahkan hutang negara kini melepasi paras RM1.4 trilion, dengan bayaran khidmat hutang sahaja merangkumi 14 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi kerajaan.
Katanya, tindakan kerajaan meminjam untuk membayar faedah hutang sedia ada bukanlah langkah pengurusan fiskal yang berdisiplin, sebaliknya boleh membawa kepada malapetaka ekonomi jika dibiarkan berlarutan.
“Saya menggesa kerajaan membentangkan satu Pelan Jalur Penurunan Hutang iaitu pelan yang jelas dengan sasaran mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK secara berperingkat, serta memastikan setiap pinjaman baharu digunakan hanya bagi tujuan perbelanjaan produktif,” katanya.





