
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencapai persetujuan menyelesaikan pertikaian saman fitnah yang difailkan sejak 2022 secara damai di luar Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu berkata, keputusan tersebut dicapai selepas mengambil kira implikasi kos dan kesan perundangan, selain menyedari keperluan untuk menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lebih penting demi kepentingan negara.
Berikutan persetujuan itu, Sanusi menarik balik kenyataannya terhadap Anwar yang dibuat pada 13 November 2022, dengan suci hati dan tanpa syarat.
Sementara itu, Anwar turut menarik balik saman fitnahnya terhadap Sanusi tanpa sebarang perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes tersebut.
“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, kedua-dua pihak mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan serta mengekalkan hubungan baik dan berhemah antara satu sama lain,” menurut kenyataan bersama itu.
Sanusi juga memberi jaminan tidak akan mengulangi sebarang kenyataan yang menjadi asas kepada tindakan guaman berkenaan.
Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mohd Johan Lee, atas usaha beliau dalam proses mediasi yang membawa kepada penyelesaian tersebut.
Anwar dan Sanusi berharap keputusan itu diterima serta dihormati semua pihak, selain tidak dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
Terdahulu, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi pada Disember 2022 selepas pemimpin PAS itu didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai perwatakan moral beliau ketika berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, dengan Anwar menuntut ganti rugi atas kerosakan reputasi yang dialaminya.
Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu ceramah politik sebelum PRU15, yang kemudiannya tular melalui siaran video di Facebook.






