
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki ibu negara sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini, sekiranya tiada urusan penting.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata penutupan dan lencongan jalan secara berkala akan dilaksanakan bagi melancarkan pergerakan delegasi luar negara yang menghadiri sidang berkenaan.
Beliau menjelaskan, penutupan jalan dilaksanakan secara berperingkat sejak 17 Oktober lalu, dan akan dipertingkatkan sepanjang tempoh sidang kemuncak itu, terutamanya ketika berlangsungnya majlis-majlis rasmi.
“Orang ramai disarankan untuk mengelak kawasan pusat bandar jika tiada urusan penting, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam.
“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi memastikan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh persidangan,” katanya pada sidang media Raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurut Mohd Khalid, antara laluan utama yang terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC.
Beberapa lebuh raya turut dijangka terkesan, termasuk Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE).
Beliau memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan gangguan sepanjang persidangan berlangsung.
“PDRM akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu keamanan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” tegasnya.






