
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengusahakan pelaksanaan langkah menyita simpanan kewangan bekas suami yang gagal membayar nafkah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, usaha itu dirangka oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan tindakan tersebut dilaksanakan melalui perintah Mahkamah Syariah.
“Langkah ini akan dilaksanakan oleh pihak BSK dan perbincangan dengan Bank Negara telah pun dijalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme pemantauan antara BSK dan BNM dalam memastikan pelaksanaan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas menunaikan nafkah.
Menurut Mohd Na’im, kerajaan kini giat memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah melalui pelbagai kaedah undang-undang yang lebih berkesan.
Katanya, BSK juga melaksanakan program kesedaran kepada penanggung nafkah, termasuk dalam kalangan waris selain suami atau bapa, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak, bagi memastikan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Tindakan penguatkuasaan turut diperkukuh melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesan majikan serta alamat terkini penghutang penghakiman,” katanya.
Beliau menjelaskan pendekatan pelbagai yang diguna pakai termasuk pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, kemudahan transit, serta tindakan tegas terhadap penghutang bertujuan memastikan kebajikan wanita dan anak-anak terpelihara.
“Langkah jangka panjang ini bukan sahaja menjamin kesinambungan perkhidmatan BSK, malah memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam,” katanya.






