
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., menyasarkan seramai 8,000 pendaftaran pakej umrah sempena Pameran Pelancongan Antarabangsa (MATTA Fair) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sehingga Ahad ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata sasaran itu realistik berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima setiap kali penyertaan Andalusia dalam pameran pelancongan terbesar negara tersebut.

“Tahun ini, kami mensasarkan 8,000 pelanggan dalam tempoh tiga hari. Lazimnya, jumlah yang dicapai setiap tahun menghampiri sasaran walaupun tidak selalu tepat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam usaha menarik lebih ramai jemaah, Andalusia menawarkan pakej umrah serendah RM7,490, termasuk diskaun RM200, khusus untuk penerbangan menggunakan Saudia Airlines bagi musim umrah Jun hingga Oktober 2026.
Bagi penginapan di Mekah, jemaah akan ditempatkan di hotel bertaraf setaraf seperti Olayan Al Haram, Malak Ajyad, Elaf Al Khair, Emaar Sultan, yang terletak 350–450 meter dari Dataran Masjidil Haram.

Di Madinah, penginapan disediakan di Hotel Hayah Plaza, Qasr Al Ansar, dan hotel setaraf, sekitar 180 meter dari Dataran Masjid Nabawi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi mana-mana daripada 60 cawangan Andalusia di seluruh negara atau menerusi platform dalam talian rasmi syarikat.
Dalam pada itu, Andalusia turut melancarkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang memberi peluang kepada umat Islam di Malaysia untuk menunaikan umrah melalui cabutan bertuah.

Kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM500,000, termasuk sebuah kereta dan dua buah motosikal sebagai hadiah utama.
Cabutan bertuah akan diadakan setiap hari Jumaat selama 52 minggu, bermula sekarang hingga 31 Disember 2025, dan akan disiarkan secara langsung antara jam 8.30 malam hingga 10.00 malam.