
BACHOK: Seorang anggota bomba yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya daripada lemas ditemui maut terdampar di pantai berhampiran Chalet Pantai D’Aur, kira-kira 3.2 kilometer dari Pantai Kandis.
Mangsa, Ahmad Badrul Naim Abdul Wahab, 32, ditemukan oleh pasukan penyelamat bersama orang awam pada jam 12.52 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pengecaman mayat mangsa dibuat isteri dan ibu bapa mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk dibedah siasat,” katanya.
Mohamad Ismail berkata, pencarian seorang lagi mangsa iaitu adik bomba berkenaan, Ahmad Nurruddin, 21, masih diteruskan.
Semalam, Ahmad Nurruddin terlebih dahulu lemas bersama anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, selepas mandi di pantai berkenaan dengan beberapa ahli keluarga lain dalam kejadian pukul 5.30 petang.






