
KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang dijumpai di sebuah tapak pembinaan di Bangsar Hill Park, di sini, disahkan sebagai pelancong Britain yang hilang pada 2 Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata identiti mangsa dikenal pasti oleh bapa saudaranya berdasarkan tatu pada tubuh badan mangsa.
Katanya, pengesahan dibuat selepas proses pengecaman di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas proses bedah siasat selesai pagi ini.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan dada disebabkan jatuh dari tempat tinggi.
“Tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di lif tingkat bawah tapak pembinaan berkenaan sekitar pukul 4.30 petang, semalam.
Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Putrajaya 03-8886 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Jordan Michael John Johnson-Doyle, 25, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah bar di Jalan Telawi, Bangsar, pada malam 27 Mei lalu.
Mangsa, seorang jurutera perisian dari Britain yang bekerja secara jarak jauh dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas mengunjungi Vietnam dan menginap di sebuah kediaman di Bukit Bintang.
Kehilangannya disedari rakan dan keluarga apabila dia gagal dihubungi, manakala akaun media sosialnya juga tidak menunjukkan sebarang aktiviti selepas hari kejadian.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, mengesahkan polis menerima laporan kehilangan Johnson-Doyle daripada bapanya, pada 2 Jun lalu selepas gagal dia dihubungi oleh keluarganya.





