
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.
Antara lapan soalan itu mengenai sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman atau tidak.
Presiden PKR itu memfailkan notis rayuan berkenaan semalam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya melalui firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad.
Peguam Anwar, Datuk Seri K Raja Segaran yang mengesahkan perkara itu berkata, ia difailkan sejurus selepas keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan.
Menurut notis rayuan itu, Anwar tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan yang diberi oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain semalam, dan merayu terhadap keseluruhan keputusan itu yang telah menolak permohonan beliau dengan kos sebanyak RM20,000.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan satu insiden yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung satu insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Dalam sidang akhbar susulan keputusan itu, semalam, Raja Segaran berkata pihaknya juga akan memfailkan sijil perakuan segera kepada Mahkamah Rayuan supaya rayuan itu akan didengar secepat mungkin.
Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Peguam itu berkata, pihaknya juga akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman terbabit.
Roz Mawar menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan perlembagaan.
Hakim itu dalam keputusannya berkata, tindakan sivil tidak membentuk satu kehilangan kebebasan mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (hak kepada nyawa dan kebebasan diri) seperti dibangkitkan Anwar dalam permohonannya.
Beliau berkata, Anwar selaku defendan masih bebas dengan kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur yang tersedia, oleh itu Perkara 5(1) tidak terbabit dan tidak perlu ditafsirkan dalam permohonan itu.
Menurut Roz Mawar, Perkara 8(1) (kesamarataaan di sisi undang-undang) berfungsi sebagai pelindung, dan bukan pemberi kekebalan, di mana ia menjamin layanan sama rata di sisi undang-undang, bukan pengecualian daripadanya.
Katanya, tindakan plaintif (Muhammed Yusoff) adalah mengikut undang-undang prosedur dan substantif yang sama seperti orang lain, oleh itu tiada isu tafsiran sebenar yang timbul berhubung Perkara 8(1) untuk dirujuk.
Menurut hakim, Perkara 39, 40 dan 43 perlembagaan hanya mengagihkan kuasa eksekutif dan tidak memberikan kekebalan peribadi dan tiada perlindungan secara nyata atau tersirat terhadap liabiliti sivil.





