KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, Ahad lalu ditemukan di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mayat tersebut dikesan pukul 10.30 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis akan mengadakan sidang media bagi memaklumkan perkembangan dan butiran lengkap penemuan ini.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang hanyut selepas kepala air melanda kawasan berhampiran Pintasan Saloma sekitar pukul 5.40 petang.
Seramai 13 pekerja berada di lokasi ketika kejadian, namun 12 daripadanya yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan berjaya diselamatkan.
Berikutan itu, lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa.
Pada Rabu lalu, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero milik mangsa ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
