
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 4,699 permohonan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan dan perjudian dalam media sosial bagi tempoh tujuh hari bermula 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata angka itu adalah yang terkini dicatatkan oleh MCMC setakat pukul 9 pagi hari ini.
Beliau berkata, daripada 4,699 permohonan itu sebanyak 72 peratus berkaitan isu judi dalam talian, manakala 14 peratus hantaran berunsur penipuan.
“Kedua-dua ini sudah mencapai 86 peratus daripada semua kandungan yang diminta diturunkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya berkata, MCMC sudah menyekat lebih 3.1 bilion panggilan scam dan memproses hampir 12,000 aduan tahun lalu.
“Perkara itu adalah satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat,” katanya.
Katanya, adalah penting untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan peraturan yang kukuh bagi memastikan pertumbuhan teknologi mampan dapat diteruskan.
“Walaupun teknologi memacu kemajuan, namun ia perlu disokong oleh peraturan yang melindungi pengguna dan menggalakkan inovasi.
“IRC 2025 adalah antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau dalam ASEAN bagi menetapkan piawaian digital secara bersama dan memupuk inovasi dalam kalangan negara ASEAN dan seterusnya.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berhasrat memimpin pembangunan dasar serantau yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan akses teknologi yang saksama bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Fahmi turut menyeru pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam membentuk rangka kerja peraturan yang mengimbangi inovasi dengan perlindungan pengguna.
Pada majlis itu, Fahmi turut merasmikan robot kecerdasan buatan Malaysia yang diberi nama Ahmad.