
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme menyekat penggunaan kad kredit asing bagi pembelian petrol RON95 di negara ini bagi memastikan pemberian subsidi petrol hanya dinikmati rakyat Malaysia yang benar-benar layak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selain itu KPDN juga akan mewujudkan peraturan baharu bagi melarang pembelian RON95 bersubsidi kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.
“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing.
“Peraturan ini disasarkan siap dan berkuat kuasa bermula pada 1 April 2026,” katanya semasa ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata, pemeriksaan di bawah Ops Samar juga akan dipertingkatkan di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan.
“Kementerian sememangnya memandang serius dakwaan wujud unsur ugutan atau pemerasan ke atas pengusaha stesen minyak menggunakan rakaman video.
“Tindakan sedemikian adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang lain dan pihak terlibat boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPDN akan bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat elemen penyalahgunaan peruntukan penguatkuasaan untuk tujuan ugutan,” katanya.





