KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan rombakan besar-besaran terhadap pelan antirasuah kementerian itu termasuk menyemak semula semua proses tender dan perolehan bagi menutup sepenuhnya sebarang ruang penyelewengan serta salah guna kuasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, rasuah dalam apa jua bentuk bukan sahaja menafikan negara daripada memperoleh aset pertahanan berkualiti malah membawa kepada pembaziran, ketidakcekapan dan ketirisan yang akhirnya melemahkan keupayaan operasi pertahanan negara.
“Pada tahun ini, pelan antirasuah kementerian akan kita rombak secara besar-besaran. Segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Mohamad Khaled berkata, usaha berkenaan adalah langkah penting bagi memulihkan integriti dan memperkukuh sistem tatakelola kementerian supaya tidak memberi ruang walau seinci kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.
Menurutnya, isu integriti selama ini sering kali hanya menjadi retorik dan perbincangan di bibir semata-mata tanpa benar-benar dihayati serta diterjemahkan dalam pelaksanaan sebenar.
Beliau turut mengakui pelbagai pelan sebelum ini telah dilancarkan namun gagal mencapai matlamat apabila tidak disertai strategi serta mekanisme pelaksanaan yang berkesan sehingga akhirnya hanya kekal sebagai dokumen.
“Cukuplah dengan segala pelan. Apa yang kita perlukan sekarang ialah tindakan,” tegasnya.
Katanya, sebarang tindakan yang diambil mestilah bersifat tegas, adil dan tidak menganiayai mana-mana pihak.
