
CYBERJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia dalam satu lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 September ini, bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Filipina dan Indonesia.
Mohamad berkata, lawatan bersama itu bertujuan menilai secara langsung situasi semasa di Myanmar, susulan pembubaran pentadbiran junta dan penamatan darurat yang diumumkan baru-baru ini.
“Dulu mereka (Thailand, Filipina dan Indonesia) pergi sendiri-sendiri, tapi kita mengamalkan kebersamaan. Kita bawa Filipina juga sebab Filipina akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2026.
“Kita mahu kesinambungan supaya Pengerusi yang akan datang tahu apa nak dilakukan, apa perlu dibuat. Jadi tidak terputus-putus. Kita akan menyambung dan meneruskan apa yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari ASEAN ke-58 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Mohamad menegaskan bahawa Myanmar perlu menterjemahkan komitmennya terhadap keamanan dan proses pemulihan demokrasi dengan memanjangkan serta memperluas pelaksanaan gencatan senjata.
Katanya, Myanmar telah mengumumkan dengan jelas rancangan mengadakan pilihan raya dan keputusan membatalkan atau tidak menyambung darurat itu dibuat kerana ia termaktub dalam Perlembagaan negara tersebut.
Bagaimanapun, beliau mahu mendapatkan penjelasan sama ada pilihan raya itu akan dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan masih terdapat 63 bandar atau kawasan yang dikenakan darurat oleh Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) Myanmar.
“Negara membatalkan darurat, tetapi 63 kawasan ini masih tertakluk pada perintah darurat. Saya nak dapatkan gambaran jelas untuk saya bawa kepada kepengetahuan kepimpinan ASEAN pada Oktober ini,” katanya.
Pada 31 Julai lepas, dilaporkan junta Myanmar mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi menganjurkan pilihan raya umum hujung tahun ini, sekali gus menamatkan perintah darurat yang dikuat kuasa sejak rampasan kuasa 2021.
Berikutan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan baharu yang turut dipengerusikan oleh Min Aung Hlaing, junta memaklumkan bahawa perintah darurat secara rasmi ditamatkan.





