
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) kekal dengan sasaran untuk mengoperasikan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jadual pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun proses ujian dan pemeriksaan sistem masih belum dimulakan, kementerian itu berpandangan faktor paling kritikal dalam pelaksanaan projek rel bukan sekadar melibatkan pembinaan fizikal landasan tetapi keupayaan sistem operasi untuk berfungsi secara bersepadu serta stabil sebelum perkhidmatan dapat dimulakan.
“Dalam sistem kereta api, perkara paling utama bukan hanya melihat kepada landasan. Ia memerlukan integrasi sistem yang menyeluruh. Ketika ini, pemeriksaan dan ujian sistem masih belum bermula.
“MOT kekal dengan sasaran Januari tahun depan kerana kita mempunyai pengalaman lalu dalam mengendalikan projek pengangkutan rel,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 MOT, di sini hari ini.
Menurut Anthony, pengalaman terdahulu seperti isu operasi melibatkan perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menunjukkan cabaran utama sering berpunca daripada masalah sistem dan perisian yang menjejaskan kelancaran operasi.
Beliau berkata, ujian integrasi merupakan fasa paling mencabar dalam sistem rel bagi memastikan semua komponen dapat berfungsi dengan baik serta selaras antara satu sama lain sebelum operasi penuh dilaksanakan.
“MOT akan terus memantau perkembangan projek ini dan memastikan semua keperluan teknikal dipatuhi bagi menjamin aspek keselamatan, kebolehpercayaan serta kelancaran operasi perkhidmatan ECRL,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan projek ECRL yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 89 peratus setakat Oktober 2025.





