KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menobatkan Muhammad Syahir Mohd. Rosdi sebagai Tekong Terbaik Dunia.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan berikutan prestasi luar biasa Muhammad Syahir yang konsisten di pentas antarabangsa, terutamanya menerusi aksi memukau di Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025, dan Sukan SEA 2025.
Ia diumumkan oleh Setiausaha Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang menyifatkan pemain berusia 30 tahun itu sebagai antara tekong paling digeruni di peringkat dunia.
“Pengiktirafan berprestij ini dianugerahkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan cemerlang dalam sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta integriti kesukanan, peranan dalam meningkatkan martabat sepak takraw Malaysia di peringkat global.
“Pemilihan Muhammad Syahir bukan sahaja bersandarkan kepada kekuatan teknikal, malah turut mengambil kira ketahanan mental dan kecerdasan taktikal beliau di dalam gelanggang,” kata kenyataan ISTAF.
Kecemerlangan anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu turut menjadi faktor penting kejayaan Malaysia menamatkan kemarau pingat emas apabila membantu negara menjuarai acara regu dan regu berpasukan pada Sukan SEA Thailand 2025.

