
KUALA LUMPUR: Anugerah Tadbir Urus dan Kemampanan Korporat Kebangsaan (NACGSA) menjadi semakin signifikan dalam konteks nasional yang lebih meluas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, NACGSA bukan sekadar platform pengiktirafan tetapi satu isyarat bahawa kepimpinan dalam ekonomi hari ini diukur bukan sahaja melalui prestasi.
“Bahkan, melalui pemeliharaan amanah, bukan hanya melalui hasil tetapi melalui tanggungjawab dan bukan semata-mata apa yang dicapai tetapi bagaimana ia dicapai.
“Isyarat ini penting kerana ia membentuk jangkaan, mempengaruhi tingkah laku dan secara beransur-ansur meningkatkan piawaian di seluruh pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis NACGSA 2025 di sini hari ini.
Fadillah menambah, institusi yang kukuh terbina apabila prinsip dihayati sekali gus menggalakkan lembaga pengarah dan pemimpin melihat melangkaui tekanan jangka pendek serta mempertimbangkan trajektori daya tahan jangka panjang dan kepercayaan awam.
Justeru, beliau berkata, ia secara senyap namun bermakna meningkatkan kredibiliti pasaran modal Malaysia.
Fadillah menjelaskan, kepimpinan sejati tidak digerakkan oleh kepentingan diri atau keuntungan jangka pendek tetapi oleh khidmat kepada pihak berkepentingan, masyarakat dan generasi akan datang.
“Kerajaan MADANI menuntut kita untuk mengejar pembangunan yang mampan, berpaksikan nilai dan berlandaskan integriti.
“Ia mengingatkan kita bahawa pertumbuhan tanpa kepercayaan adalah rapuh dan aspirasi tanpa kebertanggungjawaban akhirnya tidak mampan,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan yang bertanggungjawab bukan sahaja mampu dilaksanakan malah dihargai dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh keyakinan terhadap pasaran serta ekonomi negara.
“Kekuatan sebenar Malaysia sentiasa terletak pada keupayaannya untuk terus mara tanpa kehilangan kompas moral dengan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Kekal berpaut pada nilai, mengejar pertumbuhan tanpa mengorbankan integriti dan bersaing dengan yakin sambil kekal berlandaskan tanggungjawab serta kesederhanaan.
“Sekiranya terus berpandukan prinsip-prinsip ini, pasaran modal kita bukan sahaja mampu bertahan menghadapi ketidaktentuan malah akan meraih penghormatan berkekalan.” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Badan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) atas sumbangan berterusan kepada ekosistem tadbir urus Malaysia.
“MSWG telah membantu memperkukuh disiplin pasaran dan memperdalam kepercayaan terhadap pasaran modal kita.
“Usaha sebegini memastikan kemajuan dapat dikongsi, suara didengari dan keyakinan dapat dikekalkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.







