
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak tidak akan menarik balik permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Permohonan kebenaran komital yang difailkan berkaitan tindakan Ahmad Terrirudin, yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya mengambil pendirian itu kerana sudah banyak masa terbuang dan wang ringgit telah dibelanjakan bagi tindakan undang-undang berkenaan.
“Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan jika sejak awal pihak responden (Ahmad Terrirudin) mengakui kewujudan Titah Adendum terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas prosiding rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 September tahun lalu yang menolak permohonannya untuk memperoleh kebenaran memulakan prosiding komital.
Hakim Alice Loke menolak permohonan tersebut selepas mendapati bekas Perdana Menteri itu gagal menunjukkan wujud kes prima facie bagi membolehkan kebenaran komital diberikan.
Rayuan Najib hari ini didengar di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Malaysia yang dipengerusikan Lim Chong Fong, bersama Shahnaz Sulaiman dan Nadzarin Wok Nordin.
Terdahulu, panel berkenaan meminta penjelasan daripada kedua-dua pihak sama ada rayuan yang dibicarakan itu berkait dengan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.






