
PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan menerima maklumat awal berhubung penampakan objek disyaki serpihan angkasa di ruang udara Sarawak yang berlaku dua hari lalu.
Menurut kenyataan MOSTI hari ini, siasatan awal sedang dijalankan oleh Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), namun setakat ini tiada sebarang laporan rasmi diterima mengenai penemuan serpihan tersebut di darat mahupun di perairan.
“Berdasarkan penelitian awal terhadap video tular, objek berkenaan dipercayai berkemungkinan serpihan objek angkasa, namun pengesahan lanjut masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MOSTI menasihatkan orang awam tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan sekiranya ditemui, sebaliknya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa atau talian kecemasan 999, atau terus menghubungi BPAngkasa di talian 03-8885 8685 atau emel bpadg@mosti.gov.my
.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video berdurasi kira-kira 10 saat yang memaparkan objek bercahaya dipercayai melintasi ruang udara sebelum didakwa jatuh ke daratan.




