
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan segelintir pihak mengenai harga minyak hanya meningkat di Malaysia sebagai pandangan dangkal dan mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, kenyataan seumpama itu termasuk daripada individu berpengaruh telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat kerana tidak berasaskan fakta yang tepat.
“Ada pihak mendakwa harga minyak tidak naik di peringkat global, sebaliknya hanya meningkat di Malaysia.
“Ini jelas menunjukkan kedangkalan ilmu, walaupun diselubungi hujah tertentu yang boleh mempengaruhi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mempersoalkan harga minyak di Malaysia yang didakwa kekal tinggi walaupun negara tidak terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan setiap pihak berhak mengemukakan pandangan, namun ia perlu bersandarkan maklumat yang tepat agar tidak menimbulkan kekeliruan.
Beliau turut mengingatkan cabaran semasa perlu dihadapi dengan penuh tanggungjawab dan dijadikan pengajaran untuk memperbaiki kelemahan lalu.




