
KLANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sentiasa bersiap-siaga dengan pelan evakuasi kira-kira 400 pelajar tajaannya susulan konflik di Asia Barat.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA sentiasa berwaspada dan berhubung rapat dengan Wisma Putra bagi memastikan keselamatan pelajar mereka di Jordan serta Mesir.
“Kita berhubung rapat dengan Wisma Putra dan sudah tentu kalau ada berlaku situasi yang boleh mencetuskan risiko kepada pelajar kita, tindakan sewajarnya akan diambil.
“Kita dah ada beberapa pelan evakuasi kalau diperlukan. Semua ini kita akan selaraskan dengan Wisma Putra dan MARA akan mengikut apa juga saranan kementerian berkenaan,” katanya selepas merasmikan penutupan MARA International Education Conference (MIEC) di sini, hari ini.
Persidangan dwitahunan berkenaan dianjurkan Akademi Kecemerlangan MARA (AKM) sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemimpin pendidikan, pengamal industri dan ahli akademik dari dalam serta luar negara bagi memperkasa inovasi pendidikan, pembangunan modal insan dan perkongsian amalan terbaik dalam landskap pendidikan global yang semakin mencabar.
MIEC 2026 adalah kesinambungan kepada penganjuran persidangan pendidikan MARA sejak 2001 yang sebelum ini dikenali sebagai PERBINA.
Penjenamaan semula itu mencerminkan evolusi peranan MARA dalam memacu kecemerlangan pendidikan merentas spektrum termasuk pendidikan menengah, Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dan pendidikan tertiari secara lebih holistik dan bersepadu.
Seramai 389 peserta menyertai persidangan ini yang terdiri daripada pembentang kertas kajian, peserta pertandingan inovasi pendidikan serta barisan kepimpinan institusi pendidikan MARA termasuk pengarah, pengetua, guru cemerlang dan tenaga pengajar.







