
KUALA LUMPUR: Tiga aktivis telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden gangguan terhadap ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dalam satu majlis yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tempoh reman ke atas ketiga-tiga individu tersebut bermula hari ini.
Beliau berkata, mereka ditahan untuk disiasat atas beberapa kesalahan termasuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melakukan hasutan, ugutan serta pencerobohan.
“Siasatan masih dibuat dan permohonan reman sudah dibuat terhadap tiga individu berkenaan.
“Kita cuba melengkapkan siasatan segera dan kita akan rujuk kepada perundangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu media melaporkan, insiden kira-kira jam 2.45 petang itu berlaku semasa Azam memberi ucapan pembukaan Wacana Ilmiah Perdana di WTC semalam.
Dua lelaki terbabit dilihat berjalan menuju ke arah Azam dan mengangkat sepanduk serta menjerit.







