KULAI: Seorang lelaki warga emas pemegang status penduduk tetap Singapura didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan yang dipandunya ketika mengisi petrol RON95 awal bulan ini.
Majistret R. Salini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Long Sa Kow, 64, mengaku bersalah, dengan perintah penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam pada 2 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga RM20,000.
Mahkamah mengambil kira kepentingan awam serta rayuan pihak pembelaan bahawa tertuduh adalah pesara dan kesalahan pertama.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
