
PUTRAJAYA : Malaysia dijangka melancarkan pasport dan MyKad versi baharu dalam tempoh enam bulan lagi sebagai langkah mempertingkat tahap keselamatan dokumen pengenalan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengenalan dokumen itu merupakan satu kejayaan penting kerana pasport Malaysia merupakan antara pasport paling diyakini di peringkat antarabangsa.
“Itu penting sebab dokumen pasport kita sekarang ini nombor tiga paling dipercayai diukur dari sudut pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan kelulusan visa untuk travel. Itu kayu ukur yang penting.
“Dengan status kebolehpercayaan pasport kita, jadi kita akan memiliki pasport berwajah baharu bagi rakyat Malaysia dalam enam bulan daripada sekarang,” katanya pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Tambah Saifuddin, ciri keselamatan baharu itu dibangunkan bagi meningkatkan integriti pasport dan MyKad sejajar dengan keperluan memperbaharui dokumen keselamatan negara selepas tempoh penggunaan tertentu.
“Ciri keselamatan yang spesifik ini kami pertingkatkan. Yang ada sekarang pun sudah teruji, sebab itu ranking pasport kita antara yang terbaik, 10 terbaik di dunia.
“Proses pembaharuan tersebut melibatkan penyediaan spesifikasi pengguna oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, yang telah dibangunkan serta diperakui,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan memaklumkan orang ramai lebih awal, kira-kira enam bulan sebelum pelaksanaan bagi mengelakkan rakyat berpusu-pusu atau berebut mendapatkan pasport atau MyKad baharu.





