
KUALA LUMPUR: Program Menelusuri Jejak Sahabat & Ulama: Lawatan Ilmiah Bersama Andalusia memberi peluang kepada para jemaah menghayati sejarah Islam melalui lawatan ke lokasi-lokasi bersejarah yang berkait rapat dengan sahabat Rasulullah SAW dan ulama terdahulu.
Wakil Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berkata, program itu bukan sekadar lawatan fizikal tetapi kembara ilmu dan rohani yang menyingkap pengorbanan generasi awal Islam dalam menyebarkan dakwah serta membina tamadun ummah.

Dia menambah, antara lokasi program berkenaan di Madinah termasuk Masjid Nabawi, Raudhah, Jabal Uhud, Masjid Quba dan Perkuburan Baqi‘.
Selain itu, dia berkata para jemaah akan mengunjungi Masjidil Haram, Jabal Nur, Jabal Thur dan Jabal Rahmah di Mekah.

“Sepanjang lawatan, jemaah berpeluang menziarahi makam para sahabat serta pusat-pusat keilmuan Islam yang menjadi saksi kepada keteguhan iman, keikhlasan dan semangat dakwah generasi awal Islam dalam membina tamadun ummah.
“Setiap langkah dalam lawatan ini menjadi doa, setiap kisah menjadi pengajaran dan pengalaman mengukuhkan rasa cinta terhadap sejarah Islam yang agung,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap destinasi sarat dengan pengajaran tentang keikhlasan, keteguhan iman dan pendekatan dakwah berasaskan hikmah serta akhlak mulia.
Katanya, lawatan ilmiah itu turut menjadi medan muhasabah sekali gus menghubungkan sejarah silam dengan masa kini agar nilai ilmu serta dakwah terus hidup dalam jiwa generasi hari ini dan akan datang.







