
KUANTAN: Istana Pahang menafikan dakwaan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menawarkan bantuan wang tunai kepada orang ramai menerusi media sosial.
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, orang ramai diminta berhati-hati dan tidak terperdaya dengan bantuan wang tunai melalui media sosial serta aplikasi WhatsApp yang menggunakan nama ‘Tengku Azizah’ atau ‘Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah’.
“Penafian ini susulan mesej disebar kepada orang ramai yang didapati giat memperdayakan masyarakat dengan tawaran bantuan wang lumayan serta meminta maklumat peribadi mangsa,” menurut hantaran itu.
Istana Pahang menegaskan perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial.
“Orang ramai juga digesa segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej yang mencurigakan atas nama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang,” kata kenyataan itu lagi.







