
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihat supaya berehat beberapa minggu susulan tulang pinggulnya patah selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembedahan bukanlah pilihan yang baik ketika ini memandangkan usia negarawan itu sudah mencecah 100 tahun.
“Laporan yang kami terima daripada doktor di Institut Jantung Negara (IJN) mengesahkan beliau mengalami patah tulang pinggul.
“Disebabkan faktor usia, pakar menasihatkan supaya pembedahan tidak dilakukan,” katanya dalam satu kiriman video.
Menurut Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah, insiden berlaku selepas Dr Mahathir selesai melakukan rutin senaman pagi sebelum terjatuh di rumahnya, menyebabkan kecederaan pada bahagian pinggul.
Katanya, pakar perubatan dari IJN dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesyorkan rawatan pemulihan yang memerlukan masa, namun dianggap lebih selamat untuk keadaan Dr Mahathir ketika ini.
“Tun perlu berehat sekitar dua hingga tiga minggu dan menjalani proses pemulihan secara berperingkat.
“Ia mungkin mengambil masa, tetapi matlamatnya supaya beliau kembali pulih dan sihat seperti sedia kala,” katanya.
Mukhriz pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan bapanya serta menyampaikan mesej sokongan dan simpati kepada keluarga.





