
KANGAR: Polis merampas 98.73 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai hampir RM5 juta selepas menahan seorang lelaki dalam operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, suspek yang memandu sebuah Proton Saga BLM biru bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis ketika cuba meloloskan diri.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Jalan KTMB, Padang Besar.
Katanya, ketika risikan dilakukan, anggota polis mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan larangan awam berhampiran pagar sempadan.
“Anggota kita cuba menahan suspek, namun lelaki itu memandu secara melulu sehingga membahayakan keselamatan anggota bertugas.
“Bagi melindungi nyawa anggota, polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek sebelum berjaya menahannya berhampiran pondok kawalan PGA,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perlis, hari ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan empat guni putih mengandungi syabu seberat 98.73 kg yang dianggarkan bernilai RM4,936,600.
Muhammad berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun itu dipercayai bertindak sebagai transporter dengan menggunakan ‘laluan tikus’ di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand untuk membawa masuk bekalan dadah sebelum diedarkan ke pasaran selatan tanah air.
“Ini bukan kali pertama suspek terlibat dalam kegiatan berkenaan dan dipercayai sudah beberapa kali menyeludup dadah melalui kawasan sempadan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan ketum.
Suspek kini direman sehingga 16 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.






