KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat hari ini menerima 45 laporan berhubung kes pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, yang dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Kes berkenaan disiasat susulan laporan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 24 Disember lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) bagi mengesahkan asal usul dokumen dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Sebelum ini, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain terbabit melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, dengan FAM didenda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda sekitar RM11,000 dan digantung aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Rayuan FAM dan pemain ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November lepas.
