KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengarahkan mekanisme jaminan bank segera dilaksanakan sebagai syarat mandatori kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.
Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi melaksanakan sesuatu pakej umrah.
“Ini bukan beban kepada pengusaha yang jujur sebaliknya satu tindakan tegas untuk membina sebuah ekosistem pelancongan yang selamat dan boleh dipercayai serta mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan malam semalam.
Tiong berkata demikian susulan laporan kejadian 36 jemaah umrah terkandas di Madinah baru-baru ini yang disampaikan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan kesemua mereka selamat tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Mengenai syarikat yang mengendalikan perjalanan 36 jemaah umrah itu, beliau berkata MOTAC telah menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat dan jemaah yang terlibat, serta membuka kertas siasatan.
Ujarnya, kertas syor pembatalan lesen syarikat juga sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan pengurusan tertinggi MOTAC
“Insiden ini sekali lagi membuktikan masih terdapat pengusaha yang mengambil kesempatan atas kepercayaan masyarakat.
“MOTAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang menipu, mengabaikan kebajikan jemaah atau merosakkan reputasi negara,” tegasnya.
Baru-baru ini, sebanyak 36 jemaah umrah terkandas di Madinah selepas sebuah agensi gagal menyediakan penginapan dan tiket penerbangan pulang seperti dijanjikan walaupun jemaah termasuk warga emas dan kanak-kanak telah membuat bayaran penuh RM7,600 seorang.
Sementara itu, Tiong berkata MOTAC telah melaksanakan 64 operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan penggantungan dan pembatalan lesen terhadap agensi yang melanggar undang-undang sejak 2023 hingga Oktober tahun lepas.
Beliau berkata dalam tempoh tersebut, empat lesen agensi pelancongan telah digantung manakala dua lesen telah dibatalkan, namun kejadian yang terus berulang menunjukkan pendekatan sedia ada perlu diperketat dan diperkukuh.
Sehubungan itu, MOTAC menyeru orang ramai sentiasa menyemak status lesen agensi pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran dan melaporkan sebarang penyelewengan dengan segera agar tindakan pantas dapat diambil.
