Pelaburan Diluluskan RM160 Bilion, Pencapaian Malaysia Meningkat 18% – Anwar Ibrahim
Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam nilai pelaburan yang diluluskan sepanjang enam bulan pertama tahun ini, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM160 bilion. Pencapaian ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, yang mana ia melibatkan pelaksanaan lebih daripada 3,000 projek baharu di pelbagai sektor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pada Selasa, menjelaskan bahawa pelaburan ini membuka peluang pekerjaan kepada 79,000 anak muda, sekali gus memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.
“Dari segi pelaburan dengan kerjasama semua kementerian dan agensi, kita menyaksikan pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini melonjak kepada RM160 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus, ketimbang tempoh sama tahun lalu,” ujar beliau.
Perdana Menteri turut mengulas mengenai prestasi ekonomi negara, di mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 4.2 peratus pada suku pertama dan meningkat kepada 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini. Pertumbuhan ini, menurut beliau, bukan sahaja melebihi unjuran awal yang ditetapkan tetapi turut memperkukuhkan kedudukan matawang ringgit Malaysia pada tahap RM4.37 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Pencapaian ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi negara, selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berdaya saing.