
NILAI: Pelajar Malaysia di Iran diarah segera meninggalkan negara itu serta-merta dan melapor diri di Kedutaan Besar Malaysia di Tehran susulan keadaan yang semakin meruncing.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini empat pelajar Malaysia dikenal pasti menuntut di Qom dan Isfahan berada dalam keadaan selamat selain keluarga mereka turut dimaklumkan mengenai situasi semasa.
“Dengan kerjasama Kementerian Luar kita minta semua pelajar tersebut supaya mendaftar di kedutaan untuk proses evakuasi.
“Daripada sudut keselamatan mereka perlu keluar sesegera mungkin dari Iran kerana kita tidak mahu perkara tak diingini berlaku dengan konflik yang semakin kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, Kementerian Luar meminta semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu serta- merta susulan situasi keselamatan yang semakin tegang selepas tindakan agresif Israel terhadap Iran.
Kementerian itu memaklumkan bahawa keadaan di Iran kekal tidak menentu dan berisiko untuk bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.
Konflik antara Iran dan Israel semakin memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh Israel ke atas wilayah Iran yang dilaporkan mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains.