KLANG: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja di negara ini.
Menyedari kepentingan itu, satu Program Berimpak Tinggi Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 dikenali Logistics Unboxed – Empowering Workforce Beyond Borders telah dilaksanakan di Wyndham Acmar di sini baru-baru ini.
Inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Infinity Logistics and Transport Sdn. Bhd., di bawah seliaan KESUMA serta Kementerian Pengangkutan (MOT).
Program dirangka secara strategik itu bagi menangani kekurangan bakat kritikal dan memperkasakan tenaga kerja dalam sektor logistik, pengangkutan serta rantaian bekalan penting di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, logistik merupakan sistem peredaran masyarakat .
“Laluan perkapalan, landasan kereta api, lebuh raya dan penghantaran jarak akhir adalah seperti arteri dan kapilari.
“Walaupun kita mempunyai produk dan teknologi paling canggih, jika rangkaian logistik tersumbat, keseluruhan sistem akan lumpuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Logistics Unboxed – Empowering Workforce Beyond Borders di sini baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Kewangan HRD Corp, Mohamad Farizul Yahaya.
Beliau menambah, kepentingan program itu adalah untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mudah menyesuaikan diri bagi menghadapi cabaran masa depan.
Ujarnya lagi, terdapat lebih 2 juta rakyat negara ini telah mendapat latihan dalam tempoh satu minggu menerusi NTW 2025.
“Ini kerana memperkasakan insan di sebalik sistem ini sama pentingnya dengan menaik taraf sistem itu sendiri,” katanya.

Program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400 peserta termasuk pelajar dan majikan melalui aktiviti latihan hibrid selama lima hari. Antara topik yang dikupas adalah Digitalisation in the Logistics Industry: A Malaysian Perspective, Aligning Supply Chain with Industry 5.0: Human-Centric and Sustainable Approaches, Low-Carbon Distribution in Thai Logistics Industries dan The Challenges of Ship Building and Ship Repair (SBSR) di negara ini.
Logistics Unboxed – Empowering Workforce Beyond Borders menggabungkan sesi latihan secara fizikal dan dalam talian dengan perkongsian ilmu dan kemahiran yang relevan dengan landskap logistik masa kini dikendalikan kementerian, HRD Corp dan Infinity Logistics.
Sebagai sebahagian daripada usaha serantau di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills – AYOS) 2025, NTW 2025 merupakan flagship kedua, Logistics Unboxed mencerminkan peranan Malaysia dalam menerajui transformasi tenaga kerja serantau.
