KUALA LUMPUR: Keyakinan para pelabur terhadap keupayaan ekonomi negara menyaksikan Shell berhasrat menambah pelaburan di Malaysia melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Objektif itu sekali gus berupaya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan ketika mengadakan pertemuan dengannya semalam.
Katanya, pelaburan itu adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi negara ini yang teguh dan kepimpinan jelas.
“Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara.
“Justeru, beliau memaklumkan Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas.
“Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell itu bersama delegasi.
Anwar berkata, Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga tetapi malah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama.
Kata beliau, kerajaan akan manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan Madani dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan sehingga generasi mendatang.
