
KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan lonjakan besar dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 pada kedudukan ke-23 iaitu melinjak 11 anak tangga daripada tempat ke-34 pada tahun lalu.
Pakar ekonomi, Prof. Dr Barjoyai Bardai berkata, lonjakan besar ini jarang berlaku, sekali gus menunjukkan pemulihan ekonomi negara yang kukuh.
Katanya, pada tahun lalu, Malaysia jatuh tujuh anak tangga, tetapi bagi tahun ini, rekod itu mencatatkan pencapaian lebih baik dan kompetitif.
“Kenaikan ini dalah hasil daripada gabungan dasar fiscal berhati-hati, inisiatif subdidi bersasar dan keyakinan pelabur asing.
“Penyelarasan subsidi juga dilihat mula memberi kesan positif kepada struktur ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu,Malaysia mencatatkan lonjakan 11 anak tangga dalam laporan WCR 2025, di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lepas, menjadikannya pencapaian terbaik negara sejak 2020.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kedudukan keseluruhan itu dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, pencapaian ini menunjukkan usaha kerajaan dalam menambah baik tatakelola fiskal yang sedang membuahkan hasil.
Beliau berkata, biarpun peningkatan ekonomi ketara, kesannya kepada rakyat masih belum dirasai sepenuhnya.
“Dalam jangka sederhana, rakyat dijangka akan mula merasai manfaat ini melalui peningkatan peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah.
“Kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam ranking global ini dijangka merangsang pertumbuhan pasaran kerja, sementara sektor swasta turut dijangka menyaksikan peningkatan kadar gaji, seiring dengan prestasi ekonomi dan keyakinan pasaran yang semakin pulih,” katanya.





