
KUALA LUMPUR: Rasionalisasi subsidi petrol merupakan langkah awal sebelum Cukai Karbon yang dijadualkan pada 2026 dilaksanakan dalam usaha mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, konsep cukai karbon merupakan mekanisme untuk ‘memaksa’ industri beralih kepada operasi lebih hijau.
pun begitu katanya, ia memerlukan penetapan asas yang baik sebelum dilaksanakan.
“Masih terdapat gangguan yang wujud dalam sistem, misalnya subsidi masih diberikan kepada sektor tenaga dan perkara utama yang kami cuba lakukan ialah mengurangkan subsidi.
“Tidak masuk akal untuk mencukai (karbon) satu pihak dan pada masa yang sama, memberikan subsidi menyeluruh untuk petrol, diesel dan sebagainya.
“Tahun lepas kami mengapungkan harga diesel. Tahun ini, niatnya adalah untuk RON95 dan dengan melakukan perkara ini, kami menghapuskan gangguan bagi pelaksanaan (polisi, dasar dan usaha bagi mencapai Sifar Bersih),” katanya dalam forum ‘Menjayakan Peralihan Tenaga Malaysia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Sesi itu turut disertai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir. Pengerusi Cypark Resources Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar bertindak sebagai moderator.
Amir Hamzah berkata, kerajaan secara serta-merta melihat perubahan yang baik, selepas mengapungkan diesel tahun lalu, dengan Malaysia bukan lagi tempat yang murah untuk sumber bahan api sebelum diseludup keluar.
“Kami juga mengubah cara diesel dibekalkan kepada industri, jadi orang tidak datang mengambil apa yang berorientasikan untuk rakyat dan menggunakannya untuk komersial. Bagi operasi komersial, anda perlu membayar harga pasaran.
“Mekanisme pasaran yang baik cukup untuk membersihkan gangguan yang wujud,” katanya.





