
KUALA LUMPUR: Konflik memuncak antara Iran dan Israel boleh memberi kesan kepada industri eksport komoditi negara, terutama melalui peningkatan mendadak kos logistik dan pengangkutan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, walaupun permintaan terhadap komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit dijangka tidak terjejas secara langsung kerana ia adalah barangan keperluan, laluan perkapalan yang terganggu boleh menyebabkan kos eksport melambung tinggi.
Syarikat-syarikat perkapalan kini terpaksa mengelak daripada melalui kawasan berisiko dan memilih laluan alternatif yang lebih jauh atau memunggah barangan di pelabuhan selamat sebelum diangkut melalui darat, sekali gus meningkatkan kos.
“Apabila berlaku perang seperti antara Israel dan Iran, ia akan menyebabkan produk-produk yang nak sampai ke situ, kos logistiknya meningkat. Kos pengangkutan boleh meningkat sehingga tiga kali ganda.
“Sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, sebarang gangguan dalam landskap geopolitik dunia pasti akan memberi kesan kepada kita.
“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita adalah sekitar RM1.9 trilion. Tetapi jumlah dagangan kita dengan dunia hampir mencecah RM2.8 trilion, hampir RM3 trilion. Ini bermakna kita sangat bergantung kepada perdagangan.
“Jadi apabila perdagangan antarabangsa terjejas, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Dana Hubungan Industri (ILF) 2.0 dan penambahbaikan Dana Automasi dan Teknologi Hijau (FAT-G) anjuran Majlis Getah Malaysia (MRC), hari ini.
Beliau memberi contoh, kos untuk menghantar satu kontena ke Afrika Barat sebelum ini mungkin sekitar AS$1,200 (RM5,091), namun kini boleh mencecah sehingga AS$3,000 (RM12,728) atau lebih sehingga pernah satu ketika mencecah AS$6,000 (RM25,459) disebabkan risiko geopolitik.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan asas industri komoditi negara kekal kukuh kerana pasaran utama Malaysia iaitu India, China, dan Kesatuan Eropah (EU) masih stabil dan tidak terjejas secara langsung oleh konflik tersebut.
“Permintaan untuk makanan dan produk keperluan seperti sarung tangan getah akan sentiasa ada. Cuma cabarannya kini adalah untuk menguruskan kos logistik yang semakin meningkat agar daya saing produk kita tidak terjejas,” jelasnya.
Menyedari cabaran luaran yang semakin kompleks, beliau menegaskan industri tempatan perlu terus memperkukuh daya tahan melalui inovasi dan peningkatan kecekapan.





