
BESUT : Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecederaan kekal akan terus di bantu, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan yang perlu ditanggung keluarga.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ketika ini kementerian sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal bentuk bantuan bersesuaian bagi membantu mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan serius seperti patah kaki, hilang anggota badan serta kecederaan memerlukan rawatan dalam jangka panjang.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses untuk kenal pasti pelajar yang mengalami cacat kekal akibat kemalangan ini kerana masih ada pelajar yang menerima rawatan.
“Bantuan sewajarnya akan diberikan kepada mereka. Proses ini dilakukan secara berperingkat kerana ada di antara mangsa masih berada di Hospital di Perak dan ada yang dibawa balik ke Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke rumah pelajar UPSI, Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, yang terbabit dalam tragedi berkenaan di Kampung Gong Kemuntong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju kampus utama UPSI terbabit nahas di JRTB berhampiran Tasik Banding di Gerik, Perak.
Kejadian menyebabkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Katanya, seramai 20 kaunselor bergerak ditugaskan untuk membantu mangsa serta keluarga yang terbabit.
“Semua kaunselor ini adalah di bawah kementerian dan bergerak secara ‘mobile’ untuk membantu sekiranya diperlukan.
“Kita harap dengan sesi kaunseling ini dapat mengembalikan keceriaan mereka kerana kita tahu sekarang ini mangsa inginkan orang yang mendengar luahan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya faham bukan hanya mangsa yang trauma tetapi ada juga ahli keluarga mangsa mengalami trauma kesan daripada insiden ini.
“Sesi kaunseling yang disediakan ini bagi membantu mereka untuk memulihkan dan menstabilkan emosi mangsa,” katanya.






