
KUALA LUMPUR: Sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Muhammad Yusoff Rawther mengenai dakwaan bahawa dia mungkin bertindak sebagai ejen atau proksi kepada agensi perisikan Israel, Mossad.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan terbuka Yusoff pada tahun 2017 yang menyuarakan sokongan terhadap kewujudan negara Israel serta menolak tuntutan negara-negara Arab ke atas Baitulmuqaddis. Kenyataan tersebut masih boleh diakses menerusi sebuah portal media antarabangsa yang berpangkalan di Israel.
Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, kenyataan Yusoff bukan sahaja bertentangan dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia, malah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya pengaruh asing dalam negara.
“Kami hadir hari ini untuk membuat laporan polis dan mendesak siasatan dijalankan terhadap Muhammad Yusoff Rawther. Adakah dia sebenarnya seorang ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia sambil membawa agenda asing?
“Kita tidak pernah mengiktiraf negara Israel, malah majoriti rakyat Malaysia secara konsisten menolak kewujudannya atas dasar jenayah kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu sidang media sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.
Dzul Hilmi turut menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan kewujudan rangkaian sokongan terhadap rejim Zionis dalam kalangan rakyat tempatan.
“Lebih membimbangkan apabila terdapat pemimpin politik dan peguam tempatan yang tampil mempertahankan Yusoff. Ini seolah-olah kenyataan dia tidak dipandang serius, sedangkan ia memberi kesan besar kepada sensitiviti nasional,” katanya.
Sementara itu, peguam NGO yang hadir, Asheeq Ali Sethi Alivi menasihati Yusoff agar tidak membiarkan dirinya diperalat oleh kuasa asing.
“Jika benar anda memperjuangkan sesuatu, berdirilah atas prinsip sendiri. Jangan jadi alat kepada mana-mana pihak, lebih-lebih lagi sebuah negara yang menindas dan membunuh rakyat Palestin. Itu sahaja nasihat saya,” katanya.
Sebanyak enam wakil NGO hadir membuat laporan polis terhadap Yusoff Rawther. Mereka menegaskan laporan itu bukan bermotifkan fitnah, sebaliknya bertujuan mempertahankan kedaulatan negara serta menghormati pendirian rakyat Malaysia yang selama ini teguh menyokong perjuangan Palestin.
“Jika benar dia berperanan sebagai ejen atau proksi Israel, kita tidak boleh berdiam diri. Pihak berkuasa perlu bertindak segera,” tegas mereka.




