ALOR SETAR: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa belum sah kerana Majlis Tertinggi gabungan itu belum bermesyuarat untuk membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, berdasarkan Perlembagaan PN, sebarang peletakan jawatan Pengerusi perlu dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.
Katanya, walaupun Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan dan mengemukakan surat, ia masih belum berkuat kuasa selagi tidak diterima secara rasmi dalam mesyuarat berkenaan.
“Belum tentu (sah) sebab peletakan jawatan Pengerusi PN walaupun diumum dan ditulis surat, namun mengikut Perlembagaan PN, ia mesti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.
“Mesyuarat boleh buat keputusan menolak peletakan jawatan itu dan beliau masih boleh kekal sebagai Pengerusi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, selagi mesyuarat belum memutuskan perkara itu, kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN masih kekal.
“Kalau mesyuarat buat keputusan sebaliknya, maka kekal jawatan itu walaupun beliau umumkan peletakan jawatan kepada umum,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah bersama Menteri Besar di Dataran Wisma Darul Aman.
Mengulas kemungkinan Majlis Tertinggi PN menolak peletakan jawatan tersebut, Sanusi berkata, keadaan itu berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap Muhyiddin.
“Kalau kekal juga, nanti nampak seperti ‘flip-flop’. Beliau sudah bertekad untuk berundur, jadi tidak logik kalau mesyuarat tidak menerimanya. Mesyuarat PN dijangka diadakan dalam tempoh seminggu,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Susulan pengumuman tersebut, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon pengganti, antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas keputusan UMNO untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan, Sanusi mendakwa parti itu berdepan ‘beban’ dalam kalangan kepimpinannya sehingga menyukarkan mereka membuat keputusan berisiko.
“Ini jadi beban apabila pemimpin mempunyai masalah. Bila hendak buat keputusan berisiko, perkara lama akan diungkit dan akhirnya terpaksa patah balik.
“Pada masa depan, jangan lantik pemimpin yang ada beban seperti itu kerana bila disentuh, terus lumpuh,” katanya.
