
KUALA LUMPUR: Tindakan pemandu Nissan Navara yang menempuh pasangan suami isteri seperti sehingga menyebabkan mereka cedera parah di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta di sini terbalas apabila dia dihukum penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
K Darmaraju, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan memandu secara melulu yang dibaca di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap, 11 Mei lalu.
Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Plus berhampiran Plaza Tol Duta.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka pada buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa sedang bergerak di lorong kiri sebelum dirempuh sebuah Nissan Navara dari arah kanan.
Pemandu lelaki Nissan Navara tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis pada hari sama sekitar jam 6.55 petang.
Terdahulu, video kemalangan itu tular dalm media sosial selepas dimuat naik akaun ‘DashCam Malaysia’ dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.




